CETUSAN MINDA HIJAU SAYA
Minggu 6
Ibu Bapa Dalam Mendidik
Anak-anak
SERINGKALI kita mendengar pepatah, anak-anak ibarat kain putih dan
ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Namun, bagi mengurus dan memahami anak
masing-masing, ibu bapa perlu ada kemahiran dan ilmu keibubapaan.
Ia secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan anak-anak.
Terdapat tiga jenis gaya keibubapaan yang utama. Gaya keibubapaan yang
dimaksudkan ialah:
* Autoritatif
Ibu bapa autoritatif bersifat tegas, namun sedia mendengar
pandangan anak-anak mereka. Mereka juga bertolak ansur mengikut keadaan dan anak-anak
dididik dengan penuh kemesraan. Kesannya, anak-anak dapat menikmati kehidupan
dan mempunyai motivasi yang tinggi. Ini merupakan gaya keibubapaan yang
terbaik.
* Autoritarian
Ibu bapa yang mengamalkan gaya ini tidak mempunyai tolak ansur,
mengenakan kawalan yang ketat, menentukan peraturan keluarga yang perlu
dipatuhi tanpa soal, menggunakan kaedah disiplin bersifat hukuman dan segala
keputusan ibu bapa tidak boleh dibantah. Akibatnya, hubungan mereka dengan anak
mungkin akan renggang kerana tidak mempercayai dan wujud perasaan kurang
berpuas hati.
* Permisif
Ibu bapa memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak mereka
tanpa ada kawalan. Mereka lebih memenuhi keperluan anak-anak, tidak membentuk
peraturan keluarga yang jelas dan tidak menerangkan antara tingkah laku yang
baik dan sebaliknya. Keadaan ini akan membuatkan anak-anak bersifat kurang
matang, kurang kawalan diri, kurang sikap tanggungjawab sosial dan kurang
keyakinan diri.
Apa yang boleh ibu bapa lakukan:
* Ibu bapa sebagai model ikutan
Ibu bapa menjadi model ikutan yang ideal untuk remaja kerana
mereka belajar secara berkesan melalui peniruan dan pemerhatian. Bersikap
negatif seperti panas baran, mendera, mementingkan diri dan memaki hamun
memberi kesan psikologi remaja. Tidak mustahil jika remaja sendiri mempunyai
sifat sedemikian memandangkan pengaruh yang diterima.
* Kenali rakan anak
Buangkan rasa malu atau ego untuk mengenali rakan-rakan anak anda.
Cara ini memberitahu anda dengan siapa anak anda berkawan.
* Berhubung dengan guru
Sentiasa berhubung dengan guru sekolah anak anda mengenai
perkembangan anak. Cara ini membolehkan guru memberitahu anda seawal mungkin
jika anak anda dikesan bermasalah.
* Kualiti masa
Berbual kosong dengan anak sahaja tidak memadai. Fikirkan untuk
memaksimumkan masa bersama dengan anak. Ibu bapa dan anak-anak yang sejahtera
sering berkomunikasi mengenai pelbagai perkara dan bukan hanya apabila wujudnya
konflik.
* Kebebasan terkawal
Ibu bapa wajar menerapkan kebebasan yang terkawal ke atas
anak-anak mereka. Kebebasan yang diberikan patut tidak melampaui batas iaitu
mempunyai had-had tertentu. Ini penting bagi menjamin tidak timbul sebarang
unsur negatif yang mempengaruhi mereka.
* Bersikap realistik
Pastikan anda bersikap realistik terhadap kemampuan anak anda
seiring dengan perkembangan umurnya. Ini penting agar anda tidak menaruh
harapan yang terlalu tinggi atau tidak realistik.
Ada ibu bapa terlalu mengharapkan anak mereka cemerlang dalam
bidang-bidang tertentu mengikut kemahuan mereka tanpa menghiraukan kemahuan dan
kebolehan remaja itu sendiri. Harapan tidak realistik dikhuatiri boleh
menyumbang tekanan ke atas anak-anak.
* Pengurusan disiplin
Pengurusan disiplin yang salah boleh membawa implikasi kepada
anak-anak terutama dari segi kognitif, emosi dan tingkah laku. Disiplin
sebenarnya melibatkan langkah pencegahan dan pemulihan.
Langkah pencegahan termasuklah pengajaran dan latihan untuk
membina kebolehan remaja serta penyediaan sempadan bertingkah laku. Pemulihan
pula bertujuan membetulkan salah laku remaja dan membantu remaja supaya tidak
mengulangi tingkah laku yang jelas bertentangan dengan norma masyarakat dan
agama.
Peraturan sepatutnya diwujudkan sejak di peringkat awal lagi. Ini
boleh dimulakan dengan membuat peraturan-peraturan yang mudah. Peraturan perlu
dilaksanakan secara konsisten dan tidak bersikap berat sebelah.
* Beri penghargaan
Memberikan penghargaan terhadap remaja juga adalah salah satu
usaha untuk menunjukkan kasih sayang. Remaja akan berasa bangga kerana mendapat
penghargaan terutama daripada ibu bapa. Mereka merasakan bahawa bakat atau
kebolehan mereka mendapat perhatian dan dihargai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan