emmmm~~~

Rabu, 16 Mei 2012


Minggu yang sibuk….

Minggu         : 12
Hari             : Rabu
Tarikh         : 16 Mei 2012
Masa            : 09:00 pm

          Kelas pada minggu ini berjalan seperti biasa… emmm.. kejutan yang saya dapat apabila mendapat berita bahawa kami akan dipersembahkan kepada pensyarah jabatan kami.. emmm.. nampaknya kami kenalah membuat persediaan sebaiknya.. saya harapkan ia berjalan dengan baik nanti..
          Oh..ya, saya ingin berkongsi sesuatu pada minggu, ia berkaitan dengan apa yang dibincangkan bersama P. Afzan tadi iaitu tentang penderaan seorang kanak-kanak di United Kingdom (terlupa nama) hehehe.. perkara tersebut ialah berkaitan dengan akta kanak-kanak. Saya rasakan hal ini sangat penting apabila pada masa kini kerap kali kedengaran tentang penderaan dan pembunuhan kanak-kanak.
          Sebagai guru yang prihatin seharusnya kita tahu tentang hak-hak kanak-kanak dan keadilan untuk mereka.

Akta Kanak-Kanak 2001

Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) (selepas ini dirujuk sebagai Akta 611) hanya mula berkuatkuasa pada 1 Ogos 2002, walaupun ia telah diluluskan pada tahun 2001. Akta 611 telah memansuhkan tiga statut[1] yang lain, iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, dan telah menggabungkan undang-undang berkenaan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak.
Artikel ini mengkaji beberapa aspek undang-undang keluarga dan membuat satu perbandingan di antara Akta 611 dan undang-undang yang sedia ada berkenaan dengan aspek tersebut, dan melihat sama ada Akta 611 telah mengukuhkan lagi undang-undang berkenaan perlindungan kanak-kanak dan dalam melindungi kepentingan-kepentingan mereka.

Takrif “Kanak-kanak”

Akta 611 telah mendefinisikan kanak-kanak dalam seksyen 2 sebagai:
a) seseorang yang di bawah umur 18 tahun; dan
b) berhubung dengan prosiding jenayah, seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan.
Oleh itu Akta 611 terpakai kepada semua kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun, selain daripada dalam sesuatu prosiding jenayah. Ini adalah selaras dengan Akta Umur Dewasa 1971[2] yang menetapkan
umur dewasa sebagai 18 tahun. Definisi kanak-kanak berbeza dari satu Akta ke Akta yang lain. Misalnya:
a) Seksyen 87 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976[3] (selepas ini dirujuk sebagai AMU) memberi takrifan kanak-kanak sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun.
b) Takrif kanak-kanak di bawah Akta Pengangkatan 19524 ialah seorang yang belum berkahwin dan di bawah umur 21 tahun.
c) Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961[5] pula membahagikan tafsiran kanak-kanak kepada dua, iaitu bagi kanak-kanak Islam, umur dewasa adalah 18 tahun, manakala bagi kanak-kanak bukan Islam, umur dewasanya adalah 21 tahun.
Walaupun berlainan di antara satu sama lain, statut-statut di atas telah dengan jelas memberikan takrif kanak-kanak. Akan tetapi, terdapat beberapa statut yang tidak memberikan takrifan kanak-kanak. Oleh sebab itu, mahkamah terpaksa memberikan definisinya sendiri apabila mendengar sesuatu kes yang berkenaan statut tersebut. Misalnya, dalam kes Kulasingam v Rasammah,[6] mahkamah dikehendaki menentukan maksud “kanak-kanak” kerana Akta yang relevan kepada kes ini, iaitu Akta Perempuan Bersuami dan Kanak-kanak (Nafkah) 1950[7] (selepas ini dirujuk sebagai “Akta 1950”) senyap. Mahkamah telah memutuskan bahawa oleh kerana Akta 1950 senyap mengenai takrif “kanak-kanak”, maka Akta Umur Dewasa 1971 terpakai.

Pemeliharaan Kanak-Kanak

Walaupun Akta 611 tidak memperuntukkan bagi hak-hak penjagaan atau pemeliharaan secara nyata, ia boleh disirat dari beberapa seksyen dalam Bahagian V. Seksyen 18 memperuntukkan bagi pengambilan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan ke dalam jagaan sementara oleh mana-mana Pelindung[8] atau pegawai polis.
Seksyen 19 memperuntukkan bahawa setiap kanak-kanak yang diambil ke dalam jagaan sementara hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa 24 jam. Subseksyen (2) memperuntukkan bahawa jika tidak mungkin seorang kanak-kanak dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa yang dinyatakan, maka kanak-kanak itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang Majistret yang boleh mengarahkan supaya kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat selamat atau dalam pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai sehingga masa kanak-kanak itu dapat dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Jika seseorang kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat selamat atau dalam pemeliharaan seorang yang layak dan sesuai, pihak tersebut hendaklah mempunyai kawalan ke atas, dan bertanggungjawab bagi penyenggaraan kanak-kanak itu sama seperti ibu atau bapa kanak-kanak itu (seksyen 19(3)(a) ). Selanjutnya, subseksyen (3) memperuntukkan bahawa kanak-kanak itu hendaklah terus berada dalam pemeliharaan orang yang disebut dalam perenggan (a) walaupun kanak-kanak itu dituntut oleh ibu atau bapa atau penjaganya atau mana-mana orang lain. Soalan yang timbul selepas mengkaji seksyen 19(3) ialah sama ada seksyen 19(3)(a) dan (b) menyebabkan kehilangan hak-hak penjagaan dan pemeliharaan seorang ibubapa atau penjaga ke atas seorang kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan penjagaan?
Menurut seksyen 30 (1) apabila seorang kanak-kanak dibawa ke hadapan Mahkamah bagi Kanak-Kanak di bawah seksyen 19 atau 25, mahkamah boleh:
a) memerintahkan supaya ibu atau bapa atau penjaganya menyempurnakan bon untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan yang sepatutnya selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
b) membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam jagaan seorang yang layak dan sesuai selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
c) tanpa membuat apa-apa perintah lain atau sebagai tambahan kepada perintah yang dibuat di bawah perenggan (a) atau (b), membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan seorang Pelindung atau seorang lain yang dilantik bagi maksud itu oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah tersebut;
d) membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu di satu tempat selamat selama tempoh tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga dia mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek; atau
e) dalam hal seorang kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga atau yang telah terbuang, membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seorang ibu atau bapa peliharaan yang didapati sesuai oleh Ketua Pengarah selama tempoh 2 tahun atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek, dan sementara menantikan itu, meletakkan kanak-kanak itu di suatu tempat selamat.
Jika satu perintah dibuat di bawah perenggan (e), Ketua Pengarah hendaklah dengan serta-merta berusaha untuk meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seseorang ibu atau bapa peliharaan (seksyen 30(2) ).
Perenggan-perenggan seksyen 30(1) yang akan dibincangkan di sini adalah (b), (d) dan (e).

Perenggan (b)

Perenggan (b), seperti yang dinyatakan di atas, memberi kuasa kepada mahkamah untuk meletakkan kanak-kanak itu di dalam jagaan seorang
yang layak dan sesuai selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah. Oleh itu, ia adalah terpulang kepada mahkamah untuk menetapkan tempoh selama mana kanak-kanak itu akan berada dalam jagaan “seorang yang layak dan sesuai”. Soalan yang timbul adalah adakah ibu atau bapa atau penjaga hilang hak jagaan dan pemeliharaan mereka apabila perintah tersebut dibuat?

Perenggan (d)

Perenggan (d) memperuntukkan bahawa kanak-kanak itu akan diletakkan di satu tempat selamat selama tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga dia mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek. Isu yang berbangkit sekali lagi adalah sama ada ibu atau bapa atau penjaga hilang hak penjagaan dan pemeliharaan semasa tempoh tiga tahun ini?
Rujukan boleh dibuat kepada seksyen 10 Akta Penjagaan Kanak-Kanak,[9] yang memberi kuasa kepada mahkamah atau hakim untuk batalkan hak jagaan yang diberi kepada seorang penjaga, sama ada beliau ialah ibu atau bapa atau mana-mana orang lain, dan boleh melantik dari masa ke semasa, seorang lain untuk menjadi penjaga kanak-kanak tersebut. Oleh itu seksyen ini dengan jelas memperuntukkan bahawa mahkamah boleh membatalkan hak jagaan seorang penjaga dan melantik seorang lain. Walau bagaimanapun, Akta ini tidak secara nyata memberikan alasan-alasan bagi pembatalan hak jagaan. Jika seksyen 10 Akta ini dibandingkan dengan seksyen 30(1)(b) Akta 611, Akta 611 hanya memberi kuasa kepada mahkamah untuk meletakkan kanak-kanak itu di dalam pemeliharaan seseorang lain, tanpa menyatakan sama ada ibu atau bapa atau penjaga akan hilang hak penjagaan dan pemeliharaan mereka. Bagi menjawab soalan di atas, kita mestilah menunggu sehingga sesuatu kes dibawa ke hadapan mahkamah di mana mahkamah dikehendaki memberi tafsiran kepada seksyen 30(1) berkenaan hak jagaan dan pemeliharaan.[10]

Perenggan (e)

Seksyen 30(1)(e) memperuntukkan bahawa mahkamah boleh meletakkan seorang kanak-kanak yang dibuang oleh ibu atau bapa atau penjaganya, dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seorang ibu atau bapa peliharaan bagi dua tahun atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek. Dalam keadaan tersebut, Akta 611 secara nyata memperuntukkan dalam seksyen 30(4) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu masih boleh menuntut kanak-kanak tersebut. Dengan itu, bolehlah disimpulkan bahawa ibu atau bapa atau penjaga tidak hilang hak jagaan atau pemeliharaan mereka. Jika tiada apa-apa tuntutan dibuat, mahkamah boleh membuat satu perintah menyerahkan kanak-kanak itu diangkat oleh ibu atau bapa peliharaan itu atau mana-mana orang yang berhasrat untuk mengangkat kanak-kanak itu (selepas memenuhi syarat-syarat di bawah seksyen 30(4)(a) dan (b) dan mengenepikan persetujuan dari ibu atau bapa atau penjaga bagi pengangkatan tersebut.
Salah satu seksyen dalam Akta Penjagaan Kanak-Kanak yang sama dengan seksyen 30(1)(e) Akta 611 ialah seksyen 8A(1) yang memperuntukkan bahawa jika seorang kanak-kanak telah dibuang oleh ibu atau bapa atau penjaganya atau tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga, dan tiada mana-mana orang lain yang sesuai yang sanggup dan boleh memelihara kanak-kanak itu, mahkamah:
a) boleh melantik seorang Pelindung untuk menjadi penjaga sementara bagi tubuh badan dan harta kanak-kanak itu sehingga seorang penjaga boleh dilantik;
b) akan menentukan kuasa-kuasa dan tugas-tugas Pelindung sebagai seorang penjaga sementara berkenaan tubuh badan dan harta kanak-kanak itu; dan
c) boleh meletakkan apa-apa terma dan syarat, dengan mempertimbangkan kebajikan kanak-kanak, sepertimana yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.
Subseksyen (2) memperuntukkan bahawa subseksyen (1) akan terpakai sama ada kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat yang selamat atau di bawah perlindungan, jagaan dan pemeliharaan seorang
ibu bapa peliharaan, berkenaan dengan mana-mana undang-undang mengenai perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak.
Oleh sebab rangkaikata “berkenaan dengan mana-mana undang-undang mengenai perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak” yang diperuntukkan di atas akan meliputi Akta 611 kini, maka seksyen 8A Akta Penjagaan Kanak-Kanak akan terpakai sebagai tambahan kepada seksyen 30 (1)(e) Akta 611.
Seksyen 30(5) Akta 611 memperuntukkan bahawa dalam menentukan perintah yang perlu dibuat, mahkamah hendaklah memberi pertimbangan utama kepada kepentingan kanak-kanak itu. Isu yang timbul seterusnya ialah apakah kriteria yang menentukan “kepentingan kanak-kanak itu”? Jawapan kepada soalan ini mungkin boleh dilihat dalam seksyen 30(6)(a) yang menyenaraikan perkara-perkara yang akan dikaji oleh mahkamah dalam menentukan kepentingan kanak-kanak, iaitu latar belakang keluarga, kelakuan secara am, suasana di rumah, rekod sekolah dan riwayat perubatan seorang kanak-kanak. Akta Penjagaan Kanak-Kanak mempunyai satu peruntukan yang seakan-akan sama, iaitu seksyen 11. Seksyen 11 menyatakan bahawa mahkamah memberi pertimbangan utama kepada kebajikan kanak-kanak. Seksyen ini dibincangkan secara detail dalam kes Re Satpal Singh, An Infant,[11] di mana bapa kanak-kanak memohon bagi pemeliharaan. Hakim Buttrose J. menyatakan bahawa mahkamah mestilah mempertimbangkan kebajikan kanak-kanak itu secara keseluruhan. Ia tidak terhad kepada soalan sama ada kanak-kanak itu lebih bahagia di satu tempat berbanding dengan tempat yang lain. “Kebajikan” bermaksud kebajikan fizikal serta kebajikan moral.
Seksyen 30(5) dan (6) Akta 611 juga boleh dibandingkan dengan seksyen 88(2) AMU[12] yang memperuntukkan bahawa dalam menentukan isu pemeliharaan seorang kanak-kanak, mahkamah akan mempertimbangkan kebajikan kanak-kanak sebagai pertimbangan utama. Isu ini dibincangkan dalam kes Loura Dorris a/p Laurence v Thuraisingam a/l James.[13] Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa walaupun “kepentingan kanak-kanak” bergantung kepada banyak faktor, beberapa faktor tersebut termasuk:
a) umur, gender, kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak itu;
b) kesihatan fizikal dan mental ibubapa;
c) gaya kehidupan dan faktor-faktor sosial lain ibubapa;
d) kasih sayang dan ikatan emosi di antara ibubapa dan anak, dengan kebolehan ibubapa memberi kanak-kanak itu bimbingan;
e) kemampuan ibubapa untuk membekalkan kanak-kanak itu dengan makanan, perlindungan, pakaian dan rawatan perubatan;
f) cara kehidupan kanak-kanak;
g) kualiti sekolah, yang menjadi faktor penting jika salah seorang ibubapa ingin berpindah; dan
h) kemampuan dan kesanggupan ibu atau bapa untuk memupuk komunikasi dan perhubungan yang baik di antara kanak-kanak itu dan bapa atau ibu yang satu lagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan